Wednesday 28 December 2016

| surat kepada Tuhan |

Dalam renyai hujan,
Pagi Sabtu yang mendamaikan.

Sudah banyak warkah yang aku tulis kepada Tuhan. Sudah banyak cerita yang aku karang kepada al-Khaliq. Aku tahu Dia tak pernah jemu. Dan aku tahu surat-surat aku sampai kepada-Nya. Hari ini, aku menulis lagi dalam lembaran ini.
Tuhan Yang Maha Penyayang—yang selalu ada disisi dan hati-hati manusia beriman; Terima kasih untuk nafas yang aku hirup, nadi yang masih berdenyut dan jantung yang masih berdegup hari ini. Aku buka mata nampak terang sebuah kehidupan. Aku pasang telinga terdengar rintik hujan yang mendinginkan. Terima kasih Tuhan, kerana sentiasa ada bersamaku. Sentiasa hampir dan tidak pernah menjauh. Kau selalu ada walau aku busuk dengan dosa, kotor dengan noda. Kau tidak pernah tinggal aku sendiri. Terima kasih.
Tuhan Yang Maha Pengampun—yang selalu membentangkan seluasnya cinta pada malam hari, menanti sabar hamba-hambaNya bermunajat cinta dalam gelap malam; Ampunkan aku ya Tuhan. Dosa-dosa aku tak terkira banyaknya. Salah-khilafku tak terhitung semuanya. Aku penuh dengan calar hitam. Aku berselubung dalam kegelapan yang menyesakkan. Tarik aku Tuhan. Tuntun aku kepada nur-Mu. Tunjukkan aku jalan yang lurus. Biar aku mampu berjalan sendiri. Menjejak cinta-cintaMu ya Rabb.
Tuhan ya Rahman ya Rahim—pemilik kasih sealam semesta yang teguh dengan janji-janjiNya; Sekali lagi aku mohon keampunan dan kemaafan. Seringkali aku lari bila diuji. Seringkali aku menyisih tatkala dibebani teguran-Mu. Aku lemah wahai Tuhan. Ujian-Mu aku rasakan sangat berat dan menyakitkan. Tidak terdaya untuk aku menanggungnya. Pernah aku ingin lari sejauhnya dari takdir-Mu dan meninggalkan semua rencana yang telah Engkau firmankan kepadaku. Aku lemah ya Tuhan. Ampuni aku kerana pernah kesal dengan-Mu, ampuni aku kerana terlalu lemah dan lambat bangkit menyambut cintaMu. Masih segar dalam ingatan, aku pernah bertanyakan takdir "kenapa aku?", pernah juga aku persoalkan, "kenapa pilih aku untuk lalui kisah-kisah ini? Kenapa kirim duka yg melukakan?". Bertubi-tubi aku asak dengan pertanyaan. Aku sebenarnya lupa. Lupa yang Tuhan berkuasa utk menyembuhkan. Lupa yang luka Tuhan kirim itu bakal Tuhan rawat dengan kasih-Nya. Aku lupa janji dalam kalam Tuhan yakni "sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.” Aku lupa semua itu.
Tuhan Yang Maha Esa—yang satu-satunya ada, tiada awal dan akhir; Izinkan aku untuk terus menulis warkah-warkah rinduku kepada-Mu. Izinkan aku untuk terus kekal dalam lorong kecil ini, mengemis dan menagih cinta-Mu. Izinkan aku Tuhan, bersua dengan-Mu dengan sebenar-benar redha.

Sembah sujudku hanya untuk-Mu,
Hamba hina dan dina,
Lewat Disember 2016.

| surat untuk masa hadapan |


Ke hadapan hari esok, 
Kau masih menjadi harapan. Kau masih kabur tak terkelihatan. Kau berlari dalam angan. Kau menerawang dalam ruang mimpi. Kau sedang jauh. Terlalu jauh. Takut tak tergapai, risau tak tercapai. 
Duhai masa hadapan, 
Walau kau masih kelam, aku percaya kau tidak akan selalu suram. Tautan janji-janji kau dengan masa lalu masih utuh terikat. Tidak pecah berderai, tidak musnah ditelan waktu.
Masihkah kau ingat? 
Duhai masa hadapan, 
Banyak kata cinta yang aku karang, banyak kata harap yang aku garap. Moga kau tidak lenyapkan ia menjadi debu-debu harapan. Moga kau tidak bunuh ia menjadi jasad tak berpusara.
Hari-hari esok, 
Kau gembirakanlah lelaki renta ini. Biar hatinya bernyanyi riang. Biar jiwanya menari girang. Biar bibirnya tak berhenti ukir senyum. Jangan biar tubir matanya basah kecewa. Jangan biar hatinya sakit menahan pedih.

Tulus ikhlas, 
Aku hari ini, 
Dis 22, 2016.


| surat kepada masa lalu |

Aku,
Di suatu sudut kehidupan.
Dis 21, 2016.
Duhai masa lalu,
Kau tahu aku rindu? Rindu menjadi aku yang dulu. Banyak tawa kurang duka. Selalu gembira ceria melewati hari. Tidak banyak kisah duka yang menjengah ruang kehidupanku. Aku gembira saja. Tersenyum girang melakar mimpi. Berlari dan berkejaran menjejak angan. Sungguh, aku rindu.
Duhai masa lalu,
Kau tahu kau sentiasa di ingatan? Kisah semalam sentiasa menggamit memori. Cerita kelmarin selalu mekar berkembang. Hari-hari yang pernah aku lalui segar menjadi kenangan. Kau mengajar aku banyak perkara. Kau beri aku rasa bahagia. Kau tinggalkan aku dengan momen-momen manis yang tak pernah hilang rasanya sehingga hari ini.
Duhai masa lalu, Kau tahu aku takkan pernah lupa? Manis yang kau kirim untuk masa hadapan akan selalu aku simpan. Akan tiba masanya nanti, aku akan hulur kepada masa hadapan. Kataku "ini hadiah buatmu daripada masa lalu". Aku sangat yakin, masa hadapan akan menangis terharu. Berterima kasih yg tidak terhingga kepadamu wahai masa lalu.
Duhai masa lalu, Aku ingin pamit. Jangan kau risau, jangan kau gusar. Kau sentiasa ada denganku. Tidak ada sekelumit pun rasa jemu aku terhadapmu. Sudahku khabarkan kepada masa hadapan, kau dan aku adalah satu. Tidak ada yang bisa melempar kau jauh dari aku.
Tulus dan ikhlas,
Aku, hari ini.