Tuesday, 31 December 2013

[catatan sore 31 Disember]



Bismillah.

[1850, 31122013]

Tika ini, langit masih cerah. Angin kadang tenang, kadang menderu ganas. Burung-burung galak berkicauan. Aku duduk di bangku batu, menghadap belantara hijau. Sedari tadi nyamuk-nyamuk kecil cuba menghampiri. Aku tepis sedaya mungkin. Dan, aku sebenarnya sedang menanti terbenamnya matahari terakhir. Ya, terakhir untuk tahun 2013.

Menanti penuh sabar langit bertukar warna kemerahan. Ku dongak ke langit, ku lihat kawanan burung bertempik riang pulang ke sarang. Cantik formasinya.

[1904,31122013]

Aku mula lihat langit bertukar warna merah jingga. Nun di hujung sana. Aku masih setia di bangku tika itu. Tidak berganjak walau seinci. Tika itu juga, telingaku menangkap pelbagai bunyi. Ada derap tapak kaki manusia memijak tangga, ada bunyi curahan air bertubi-tubi, ada bunyi alunan muzik, bunyi bayu mendesir juga bunyi yang cukup indah yakni bacaan ayat suci al-Quran daripada salah seorang penghuni kotak-kotak batu kolej ini. Tenang dan damai.

Aku ingin terus menjejak matahari terbenam.

Tapi, masa seakan mencemburui. Langit kelihatannya makin kehitaman. Angin bertiup makin ganas. Daun-daun berterbangan. Burung-burung pun kelihatan makin kalut, ingin cepat pulang ke sarang. Muazzin aku kira sedang berzikir sambil menunggu masuknya waktu-tika itu. Maka, aku hayun langkah pulang ke lubuk. Mungkin bukan rezekiku hari ini untuk menatap keindahan matahari terbenam yang terakhir. Ya, terakhir.


 

Langit yang masih cerah tatkala aku melabuhkan duduk di bangku batu itu.


Bangku batu tempat aku menanti penuh sabar langit bertukar warna.


Langit mula bertukar warna, tapi nun jauh di sana.
 

Catatan akhir aku, moga aku masih bisa menatap langit yang sama pada hari esok.
 
notakaki: lokasi di belakang k13c kiy,ukm

Friday, 27 December 2013

[Jumaat]

Jumaat akhir ini
aku mendongak ke langit
dengan rasa sayu
bertakung di sudut hati
 
Jumaat akhir ini
aku bermohon
kepada Tuhan
agar aku masih bisa
melihat kicau burung
jumaat hadapan
 
1916
27122013
Salam Maghrib

Saturday, 7 December 2013

[menjadi dewasa]

menjadi dewasa
sebelum usia itu
bukan mudah
walau kau belajar 
untuk menjadi dewasa sekalipun
ia tetap payah

menjadi dewasa itu
memang menjadi keinginan
banyak mimpi-mimpi 
yang mencantikkan sebuah kedewasaan

hakikat

menjadi dewasa itu sukar
kau perlu dewasa
untuk menjadi dewasa



2350:060913

Wednesday, 27 November 2013

[Catatan di hari ulang tahun]


Bismillahirahmanirahim.

Segala puji bagi Allah pemilik sekalian alam. Hari ini bertanggal 27 November 2013 aka 23 Muharram 1435. Hari ini menyaksikan aku sebagai manusia berusia 22 tahun. Sudah melewati dua dekad menumpang kasih di bumi barokah Tuhan. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Aku panjatkan kesyukuran kepada Tuhan yang Esa pemilik segalanya. 22 tahun yang aku kira masih belum bermakna secukupnya. Aku masih kosong dengan amalan apatah lagi dengan perjuangan untuk tegakkan ummah. Aku masih aku yang senantiasa alpa dan lalai. Terkadang aku menyoal sendiri,apa aku sudah bersedia untuk dipanggil pulang? Apa bekalan aku sudah mencukupi? Tidak. Hakikatnya belum. Persiapan aku menuju negeri abadi hanya sekangkang kera. Langsung tidak layak dipanggil pulang berkarpet merah.
Sejujurnya, aku tidak mengharapkan apa-apa untuk hari ulang tahun kelahiran ini. Cukup sekadar iringan doa yang benar-benar datangnya dari sudut kalbu. Kerna, andai ditanya hadiah apa yang aku inginkan, pasti tiada siapa mampu hadiahkan. Kerna, ia mustahil. Mustahil untuk ibuku hidup kembali. Jujur, aku merinduinya. Ingin sekali aku, duduk bersimpuh di hadapan ibu, lalu kutarik lembut tangan tuanya, ku kucup penuh kasih. Maaf. Aku sebak. Tika ini, pipiku kebasahan. Mataku berair. Entah mengapa.

———————————————————————————


Hari yang aku kira
semua orang menguntum senyum
berbahagia
mungkin untuk seketika cuma



aku seperti hari-hari kelmarin
melayan dunia bagai tiada rasa
membelai hati tanpa bibit bunga


Aku sebenarnya gusar. Gementar. Takut. Bukan liang lahad yang kecil dan gelap itu. Tapi, takut gementar aku adalah kerana amalan dan sumbangan aku untuk ISLAM. 22 tahun bukan tempoh yang singkat. Lama. Aku masih boleh berbicara tentang keduniaan sedang ummah hari ini semakin lemah tanpa daya. Aku takut usia aku tidak sempat mengjangkau 23. Aku risau tertidurnya aku nanti dalam keadaan hiruk pikuk dunia yang masih kelam dengan sinar ISLAM. Aku juga berasa sangat gementar untuk berjalan pulang menghadap sang pemilik hati dengan amal yang tempang, ibadah yang compang. Allahu Allah. Aku benar-benar takut.

Aku jeda kata-kata. Biar ternoktah di sini. Aku punya bicara yang tidak terungkap. Barangkali bicara ini hanya untuk dibisikkan kepada kekasih hati di atas sana.

: Kamu. Yang mengeja abjadku, terima kasih. Boleh aku minta sesuatu? Boleh kamu sedekahkan al-Fatihah buat ibuku? Juga untuk bapaku. Dan, semestinya untuk kedua orang tuamu. :


Salam.

Saturday, 9 November 2013

[Moga bukan yang terakhir]

Bismillah.

Oktober 2013. Redang,Terengganu. Ukhuwah fillah. Moga bukan yang terakhir. Manis ini manis persaudaraan yg berakar daripada cinta Tuhan. 






Indah ciptaan Tuhan. Sayu bergetar di hati. Betapa Tuhan yang Maha Besar mencipta agung sebuah pemandangan. Tenang jiwa dielus lembut bayu. Menampar lembut fikiran utk berzikir memuji keindahan Illahi.



"Allah itu cantik, dan suka akan kecantikan."

Maka lihatlah.
 



Ukhuwah yang terjalin moga berkekalan. Biar terpatri nur-nur Illahi.


Salam.



Friday, 25 October 2013

Bukan Sekadar Kata

Assalamualaikum.

[PRK UKM 2013]





[Sekitar pengumuman PRK UKM. Gambar asal MA UKM .


Sekalung tahniah dan takziah buat barisan kepimpinan baru. Semoga kalian dapat menggalas tugas yang diamanahkan sebaik mungkin walau kalian mungkin saja berbeda ideologi dan fikrah.

“Jadilah pohon dan jangan jadi rumput. Rumput itu tampaknya sama, sering diinjak-injak dan susah dikenali. Kalau pohon, meskipun kecil, tetapi akan tampak, mudah dikenali, dan bisa dijadikan sebagai tetenger atau patokan. Apalagi bila pohon itu besar, bisa menjadi peneduh orang di waktu panas. Bahkan bila sudah demikian besarnya, bisa jadi peneduh di kala hujan. Tambahan lagi, sebuah pohon yang besar selain memiliki daun yang rindang juga akan mempunyai batang yang kokoh dan akar yang kuat mencengkeram, susah dirobohkan sekalipun diterpa angin kencang. Jadilah pemimpin yang mengakar, seperti pohon. Untuk menjadi pohon yang baik seseorang harus terus memperkaya diri dengan ilmu dan kekayaan batin."

- Sarwo Edhie Wibowo

Perjuangan ini baru saja bermula. Jangan sekali kalian cepat menyerah sebelum sempat berjuang. Biar tabah jangan terus rebah. Wahai akhi, singsinglah lengan bajumu. Wahai ukhti, tetaplah kamu dalam barisan itu. Kalian insan hebat dalam kalangan yang hebat. Teruskan langkah ke hadapan.


Sebuah puisi ringkas. Tribut buat seorang teman yang sosoknya kecil dalam perjuangan besar.


Insan kecil berjiwa besar.
jika semalam
madahmu berkanvaskan kertas putih
hari ini
lukisan katamu
menjadi mural tatapan marhaen

perjuangan ini
sungguh panjang
di kiri kanan
mehnah dan tribulasi meniti jalan
menuntut rasa sabar dan tabah

nafas juangmu
bagai embun menitik
di hujung daun hijau
menanti untuk membasahi
pasir-pasir kering
dengan siraman semangatmu



: sekadar ekspresi kata dari sahabat yang memerhati. aku tidak berdiri segagahmu, malah duduk jua tidak sehebatmu. biar kata nista dilempar, biar herdik dilontar. tetaplah kamu berdiri di pentas itu, membongkar kebenaran hakiki. :

Wednesday, 9 October 2013

[ Tongkat Si Buta ]

hiruk pikuk kotaraya
menjadi halwa
jasad yang buta bertongkat
ibarat bayangan yang terbias

isteri itu
menongkat di jalanan
memandu jalan si suami
yang
kudratnya hanya tinggal sekerat cuma

tinggi keyakinan
kepada Allah
Tuhan yang Satu
pasangan buta itu
redha mengharungi
mehnah dan ujian daripadaNya



:: Kata jalanan ini terungkap tatkala mata ini melihat sisi si buta. Bertemu mata dalam monorel, terbit rasa syukur. Aku sebenarnya insan bertuah, dipinjamkan secukupnya nikmat dari Dia sang pemilik dunia. Bersama teman, kaki disusun melangkah ke tempat dituju. Pada mulanya, kedua pasangan ini bagai ralat dan menolak untuk dibantu. Kata seorang teman, barangkali mereka risaukan keselamatan mereka. Ya, benar . Kalau kami tidak bertuhan, barangkali kami membiarkan sahaja pasangan renta ini menongkat di jalanan . Sebenarnya, sangat sukar untuk mengungkap rasa jiwa setiap daripada kami. Aisyah. Pantas menghulur tangan, memimpin si isteri. Si suami yang hari-harinya hidup dalam kegelapan, mengekor dari belakang. Sebelah tangan di pundak si isteri, sedang sebelah lagi mengheret lemah bagasi yang aku kira sangat berat sebenarnya. Mereka tabah. Aku sanjung ketabahan itu.  Fatin. Sepanjang perjalanan, ibarat terkunci bicara. Matanya bergenang. Mengekspresi rasa yang lahir dari jiwa. Doa kami, moga Pak Cik Md Nor dan Mak Cik Haslinda mendapat keredhaan Allah SWT. Moga mereka selamat ke destinasi di bawah payung rahmat-Nya. ::


Hari ini. 9 Oktober 2013. Kuala Lumpur.

Tuesday, 1 October 2013

[ Mualaf ]

Wanita itu duduk seketika
di balik birai
melepas lelah semalam
dia aku lihat
ibarat sedang meminggir rasa jentaka
di jiwa

Kisah semalam seakan mengejar
ceritera kelmarin seolah-olah menghantui

Pada aku
dia wanita hebat
hatinya luhur
jiwanya tabah

Aku bayangkan dia seperti Siti Hajar
tabah dan sabar mengendong puteranya 
yang masih merah
di tanah gersang yang merekah
dan semoga
jiwanya sekental Asma'
mengharung denai perjuangan Islam
dengan berlafazkan nama Tuhan
cekal dan tabah seperti Zainab
walau terseksa dan terluka
di balik penjara janji yang kaku

Demi Islam
aku kirim doa pada Tuhan
moga wanita itu
terus thabat di jalanNya
terus istiqamah menjalin cinta
dengan Al-Khaliq

1911
01102013

Gambar ehsan En. Google


Wednesday, 25 September 2013

[ Pesta Tanglung ]

24 September 2013.
Dewan Gemilang, UKM.



















Pesta tanglung pesta impian. Beribu mimpi terukir indah pada kanvas berwarna. Ukhuwah terjalin terzahir melalui senyuman. Kasih-kasih bersemarak dalam percikan api. Terbang menerawang ke ruang angkasa menyebar cinta yang luhur. InsyaAllah moga kasih yang tertaut kekal hingga ke syurga.

:Foto tanpa Sam.

Monday, 16 September 2013

Katarsis

Hitam gelap
tatkala itu
sangat merungsingkan
degup jantung
seolah berjeda seketika

Cahaya seakan sirna
suram yang menakutkan

Kuselusuri denai tirani
penuh tertib
dalam hela nafas
yang mendesah

Dalam getar dan debar
aku memburu katarsis

2300
16092013



Wednesday, 4 September 2013

Sakit : Tanda cinta Allah kepada hamba-hambaNya.


Bismillahirahmanirahim.

Ingat lima perkara, sebelum lima perkara
Sihat sebelum sakit
Muda sebelum tua, kaya sebelum miskin
Lapang sebelum sempit
Hidup sebelum mati

Ramai antara kita yang jarang menghargai nikmat ketika sihat. Apabila ditimpa sesuatu penyakit, barulah kita merengek-rengek minta disihatkan kembali. Tetapi, apabila kita sudah sihat, kita kembali kepada sikap sebelum ini. Kita lupa saat-saat di mana kita pernah sakit. Saat di mana kita merengek-rengek minta dengan Tuhan supaya kembali sihat. Fitrah. Manusia sering lupa. Kurang sekali yang bersyukur.

Ramai yang tidak memahami hakikat sebenar kurniaan penyakit kepada kita. Ramai yang menganggap bahawa penyakit itu malapetaka dan tak kurang juga yang menganggap penyakit itu balasan kepada seserang. Ya, adakalanya, penyakit yang dihidapi itu teguran daripada Allah. 

Allah Ta'ala berfirman,

وَمَا أَصَابَكُمْ مِنْ مُصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ وَيَعْفُو عَنْ كَثِيرٍ

"Dan apa saja musibah yang menimpa kamu maka adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan sebagian besar (dari kesalahan-kesalahanmu)." 
(QS. Al-Syuura: 30)

Allah ingin kita kembali kepada fitrah asal. Kembali kepada hidup bertuhan. Allah SWT sering memerhatikan kita dan kerana itulah Dia menurunkan sakit supaya kita lebih mengingatiNYA.

 Sakit itu tanda Allah kasih. Tanda cinta seorang pencipta kepada hamba-hambaNya. Sakit merupakan penghapus kepada dosa-dosa kecil kita. Kata orang, sakit itu kafarah dosa.

Sabda Rasulullah SAW :

“Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya, melainkan Allah akan mengugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon yang mengugurkan daun-daunnya”. 
(HR. Bukhari no. 5660 dan Muslim no. 2571).

“Janganlah kamu mencaci-maki penyakit demam, karena sesungguhnya (dengan penyakit itu) Allah akan menghapuskan dosa-dosa anak Adam sebagaimana tungku api menghilangkan kotoran-kotoran besi”.
 (HR. Muslim no. 2575).

Sakit yang ditimpakan kepada seseorang adakalanya ringan dan ada masanya berat. Sakit itu bergantung kepada kekuatan individu tersebut. Allah pasti tidak akan memberati hamba-hambaNya dengan ujian yang tak mampu dipikul oleh hamba-hamba tersebut. Sakit juga sebenarnya ujian yang Allah turunkan buat hamba-hambaNya untuk melihat tahap keimanan dan kesabaran mereka dalam menghadapi musibah dalam hidup mereka.

“Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, (yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan ‘Inna lillaahi wa innaa ilaihi roji’uun’ (Dari Allah kita datang kepada Allah kita akan kembali). Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk “. 
(Surah  Al-Baqarah : 155-157).

Maka, berbahagialah anda sekiranya anda sedang menikmati sakit. Anda sedang dipilih oleh Tuhan Punya Dunia untuk menikmati ganjaran atas kesabaran dan kekuatan anda dalam menghadapi musibah yang diturunkan. Teruskan bersabar dan jangan pernah berhenti mengungkap kata doa. Allah sedang mendengar.


Sunday, 1 September 2013

Rasa


Bismillah.



Bicara tentang rasa. Rasa, merasa, terasa, dirasa, berasa. Secukup rasa.
Hidup ini panjang. Perjalanan masih jauh beribu batu. Onak dan duri perlu diharungi dengan tabah. Andai ingin bicara tentang rasa, aku pasti banyak rasa yang pernah kau telan. So do I. Aku pernah terasa. Berasa dan merasa. Kadang-kadang rasa yang terpaksa aku telan, sangat pahit. Namun. aku tak nak ikut rasa, kelak nanti aku yg binasa.

Kawan,
Hidup kita bukan sekadar menerima segala rasa daripada orang lain. Tetapi juga memberi segala rasa kpd orang lain untuk mendapatkan rasa dalam hidup. Memberi rasa bukan bermakna kau memberi rasa cuka atau hempedu. Tapi, gula. (Jangan sampai terlebih, takut diabetes dtg menyinggah).
Keenakkan sesebuah rasa itu akan lebih terasa jika kita berkongsi dengan orang lain. Manis sebuah kejayaan pasti sangat terasa jika usaha untuk berjaya itu kita kejar bersama sahabat lain. Syuga nanti pasti lebih indah jika perjalanan tarbiyyah di dunia ini kita harung bersama teman-teman. Rasa itu sebuah rasa yang kau ingin sentiasa rasai.

Singkirkan rasa masam, masin dan pahit itu. Buang rasa kelat, sakit dan iri itu.
Ayuh. Berjalan dan terus berjalan. Tinggalkan segala rasa negatif. Kita kutip rasa-rasa manis di sepanjang perjalanan kita. 

Kutiplah rasa-rasa indah di sepanjang perjalanan