Tuesday, 11 February 2014

[kerana dia sahabat]

Lama tidak disapa bayu pantai, mengajak hati berkunjung ke sana. Berteman sahabat sehati merapat ukhuwah. Tenang. Nyaman. Hati sebenarnya mahu berlama. Ingin duduk senyap tanpa suara. Pejam mata rapat. Memanggil Tuhan
 


.

*******************

kerana dia sahabat


kerana dia aku panggil sahabat
aku sentiasa ingin bersamanya
berkongsi suka aku
mendengar duka dia

kerana dia manusia biasa
aku biasa terluka
aku kalis rasa
jasad tetap di sisi
setia mengira bahagia

kerana dia aku panggil sahabat
risau bukan kepalang bila berjauhan
khuatir bila bersendirian
langkahnya menyimpang
tersasar dari batasan

bukan kerana aku tidak percaya
jauh sekali meragui

kerana dia manusia biasa
bisa terbabas
jatuh tergelincir
tanpa tangan memaut
memimpin menuju Tuhan

tiada kata untuk merungkai rasa
sekadar senyum
tunduk penuh syukur
kepada Rabbul Izzati
melempar dia menjadi sahabat

kerana rindu selalu hadir mengetuk hati
aku berdiam diri
ku pejam mata rapat
membisik doa kepada Tuhan
supaya mengirim malaikat
untuk menlindunginya
dalam jaga juga lena
   1732
10022014
tanah rendah sekebun bunga


 




Saturday, 8 February 2014

[singgah di pusara bonda]

sore itu
langkah kaki menapak
ke pusara bonda
suram dan sepi
menghimpit rasa

dua nisan terkambus dalam
diteman sepi kemboja renek
menghiasi pusara bonda

lembut tangan menyentuh tanah
menguis jauh rumput tua
memangkas lalang menganjar
biar bersih pusara bonda

bibir kaku bicara
hati rancak berdoa
moga damailah bonda di sana
jauh dari batas bumi
dalam dakapan Tuhan

jasad ini
yang berdiri di pusara bonda
juga akan pergi
menuju Tuhan

alfatihah

2142
05022014
tanah rendah sekebun bunga

Monday, 3 February 2014

[TULIS]

Dengan menulis coretan hati, mungkin membuka ruang untuk orang mengetahui setiap liku kehidupan kita. Setengah jasad akan mengiakan. Maka, mereka memilih untuk menjadi silent reader.. baca sampai ke hati, sesuaikan dengan keadaan diri. Baik jadikan pedoman, buruk jadikan teladan.


Tapi, aku memilih untuk menulis. Sebab, tulisan aku lahir dari hati-suatu yang sukar diterjemah melalui kata, sekadar tertulis melalui renda abjad.


Aku cuba menulis yang baik-baik. Sebab aku bukanlah orang yang baik-sekadar manusia pendosa yang ingin menjadi baik. Moga kata-kata yang aku tulis boleh menyentuh jiwa manusia lain. Aku tidak petah berbicara secara lisan untuk mengajak manusia hidup berTUHAN. Lidahku kadang kelu. Bibirku pula seolah terkunci dari dalam. Maka, aku cuba menulis perkara baik-baik. Moga-moga ada hati terpaut dan makin mendekat pada Tuhan yang satu. Laman dakwah itu terlalu luas. Dakwah tidak semestinya berjalan dalam jemaah sambil menghujah hadis dan nas al-Quran. Dakwah boleh disebarkan melalui tutur kata, perbuatan, pakaian, dan juga tulisan. Kerana aku manusia yang telah diiqamatkan sejurus dilahirkan, telah mengucap kalimah" لآ اِلَهَ اِلّا اللّهُ مُحَمَّدٌ رَسُوُل اللّه” - maka aku seorang da’ie. Aku mahu hidup menjadi manusia yang bukan sekadar manusia biasa. Aku ingin menjadi manusia yang boleh menyumbang kepada agama. Biar mati aku, mati sebagai mukminah sejati.

Coretan hati tidak bermakna luahan masalah semata-mata. Kadang-kadang coretan hati itu terlahir melalui masalah yang diterjemah dalam aksara menjadi bait-bait syukur. Kerna- masalah itu kadang-kala menghidupkan kita yang sedang lena. Coretan hati juga renda kata yang ingin dikongsi bersama. Gembira yang ingin dinikmati bersama, sebak yang ingin ditangisi bersama. Kerana manusia itu saling bersaudara, maka rasa-rasa itu ingin dikongsi bersama. Inilah indahnya hati-hati manusia yang berTUHANkan ALLAH. Tidak mengenali sesama sendiri, tetapi tetap bersilaturahim melalui tautan hati yang cintakan Allah.


:Penulis akan mati, tetapi tulisannya akan kekal abadi:


2207, 03022014
Tanah Rendah Sekebun Bunga