Monday, 27 January 2014

[UJIAN]

 بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ


2255
23012014

Berkisah panjang siang tadi. Rupanya ada sendu di jiwanya. Berat pundaknya dengan segala macam hal. Moga saja dia terus tabah dan kuat hadapi segala mehnah dari Tuhan.

***************************************************************************

Ujian dan manusia. Rapat bertaut. Tapi, ujian atau musibah yang ditimpakan, berbeza mengikut kemampuan seseorang. Ujian yang tertimpa ke atas kita, boleh jadi ibtila' dan kaffarah. Boleh jadi juga, rasa rindu yang teramat dari Rabb terhadap bicara kasih kita. Ibtila' itu ujian penilaian bagi mengangkat martabat hambaNya sebagaimana hadis Nabi SAW:


يُبْتَلَى الرَّجُلُ عَلَى حَسَبِ دِينِهِ ، فَإِنْ كَانَ فِي دِينِهِ صَلابَةٌ زِيدَ له في البلاء

"ٍSetiap manusia diuji berasaskan tingkat atau kadar pegangan agamanya. Makin kuat pegangan agamanya, maka makin tinggilah ujian Allah kepadanya".

Manakala kaffarah pula penyucian dosa-dosa yang telah kita lakukan. Manusia - tak boleh lari daripada membuat dosa dan kemungkaran. Kita manusia pendosa.

Allah uji, Allah duga - tanda sayang. Di sebalik ujian dan dugaan yang kita terima, Allah akan hapuskan dosa-dosa kecil kita, hatta jari terluka dek tertusuk duri sekalipun.  

Dalam hadis qudsi Allah berfirman,

"Pergilah pada hambaku lalu timpakanlah berbagai ujian padanya kerana Aku ingin mendengar rintihannya."

(HR Thabrani dari Abu Umamah)

Biar lelah yang menyapamu, lelah mengikutimu. 
Biar sakit yang mengirimu, sakit mengekorimu. 

Kita perlu kuat untuk terus teguh dalam dakapan Tuhan.
Jangan lemah sebelum sempat berjuang.

Sedikit perkongsian tentang ujian dari laman genta-rasa, Ust. Pahrol.
Hidup adalah untuk diuji. Ujian itu tidak akan ada hentinya. Selagi kita diuji, selagi itulah kita masih hidup. Jadi bersyukurlah… Ujian itulah jalan untuk kita mengenal Allah. Allah ‘memperkenalkan’ Dirinya di sebalik semua ujianNya. Pada ujian sakit, Allah kenalkan Dirinya yang Maha Penyembuh. Pada ujian miskin, Allah perkenalkan diriNya yang Maha Kaya. Pada ujian fitnah, Allah sedang memperkenalkan diriNya yang Maha Penyabar…




Tuhan tahu kau mampu
maka kau diuji
bukan untuk melemah
bukan untuk merencat

mahu kau mendekat

ujian itu untuk menguatkan
ujian itu untuk mendewasakan

dan kerana
Tuhan tahu kau mampu
maka jalan hidupmu sedikit berliku
kiri kanannya penuh ranjau berduri

bukan untuk meluka
bukan untuk menyakiti

Tuhan itu
rindu akan bisik doamu
menanti kata cinta darimu
menunggu ucap rindu hambaNya
maka kerana itu
kau diuji
dengan calar hidupmu

Manusia itu
diuji mengikut tingkat agamanya
andai kuat
makin tinggi ujian Tuhan kepadanya
maka
ujian itu
kau anggap saja 
titik lemah yang menguatkan

bingkisan rindu Tuhan
untuk meningkatkan martabat keimananmu

Tuhan itu Maha Mendengar
maka
jangan pernah engkau letih melempar doa
jangan pernah engkau berputus harap padaNya

Berpautlah pada sabda dan firmanNya


Ba'da Asr
Kota Bharu

1655
27012014



Wednesday, 8 January 2014

[4 Januari 2014]

Bismillah. 

4 Januari 2014. Membuka tahun baru dengan peristiwa yang mungkin kami tidak akan lupakan untuk sepanjang hidup. Peristiwa tersebut benar-benar menguji hati-hati kami. Foto-foto beku tanpa suara ini antara yg sempat ditangkap sebelum kami berempat disapa tarbiyyah Illahi. Kata naqibah, tahniah kerana terpilih. Bukan semua yg terpilih mendapat peluang kedua seperti kami. Allahu Allah, nikmat Tuhan itu sangat luas. 




Taman Saujana Hijau, Presint 11 Putrajaya,


Gambar-gambar beku ini bertemakan persahabatan untuk tugasan kursus Fotografi salah seorang daripada kami. Petang itu, hujan. Mulanya renyai tapi semakin melebat. Alang-alang basah, kami teruskan juga sesi shooting. 

Kami beredar sebelum azan Maghrib berkumandang.

Namun, ujian Allah itu datang dalam pelbagai bentuk. Sentuhan tarbiyyahnya berbeza-beza. Sore itu, kami benar-benar teruji.

Barangkali, jalan licin. Kereta yang kami naiki berpusing 360 darjah. Dan, akhirnya berlanggar dengan tiang elektrik. Keadaan tika itu sangat payah untuk diungkap. Sejujurnya, aku sendiri pada waktu kejadian, terlelap. Di saat nyawa kami berempat  seolah-olah berada di penghujung, aku sempat sedar bahawa kereta sedang berpusing. Teman di sebelah, menyuruh aku membuka pintu di sebelah dudukku (pintu sebelah beliau tidak boleh dibuka kerana terhalang tiang tersebut). Aku dalam keadaan yang separa sedar membuka pintu dan baru sahaja berjalan dua tiga langkah, aku terjelepok ke atas jalan. Menggunakan sedaya mungkin lebihan tenaga yang ada, aku cuba bangkit dan berjalan ke birai jalan. Tiba di birai jalan, pemandanganku samar-samar. Rupa-rupanya cermin mata aku sudah tiada. Aku berasa pedih di muka. Terasa seperti ada cairan di wajahku. Aku cuba lap. Aku lihat jariku ada lendiran darah merah pekat. Rupanya muka aku sudah berdarah teruk. Kata teman, ada serpihan kaca di pipiku. Tingkap yang pecah di bahagian pemandu dan belakangnya. Bahagian aku, tingkap tidak pecah. Maka, aku andaikan kaca yang menyucuk di wajahku tika itu, datangnya dari kaca cermin mata aku yang hilang. 

Peristiwa itu berlaku dalam sekelip mata. Sejam sebelum, kami masing-masing dengan wajah ceria mempamer kasih ukhuwah kepada lensa kamera. Menzahir ukhuwah.

Dalam masa yang tidak sampai sejam itu, segalanya berubah. Aku sendiri, kehilangan kulit pipi. Teman-teman yang lain, luka-luka kecil dan sakit badan. Mereka terdiam. Tidak banyak bicara. Nampak keresahan di wajah Aisyah selaku pemandu hari itu. Fatin menggigil seluruh badan cuba menenangkan kami. Adah kurang bicara, barangkali masih terkejut. Namun, syukur. Kami bersyukur kerana kami masih dipinjamkan nyawa oleh Allah SWT walaupun kami sebenarnya mempunyai peluang yang sangat tinggi untuk menjadi 'arwah'.



Keadaan kereta tika itu. Nasib baik tidak terputus dua.




 Kami benar-benar bersyukur. Umur kami masih panjang. Teringat bait-bait kata daripada teman,
 "Aku ingat mati je masa tu. Aku nampak muka mak ayah aku je"

Allahu. Besar sungguh nikmatMu. Kalaulah, kami benar-benar sudah tiada. Allah. Terima kasih Allah. Kau masih teruskan kontrak hidup kami.


Rupanya kereta ini dibawa ke bengkel yang berdekatan dgn universiti kami.

Luluh hati kami bila melihat keadaan sebenar kereta tersebut pada hari kedua kejadian di sebuah bengkel yang berdekatan dengan universiti tempat kami belajar. Allah. Keadaan di bahagian pemandu agak teruk. Tapi, alhamdulillah, beliau tidak mengalami kesan luaran yang agak teruk. Tapi, sakit-sakit dalam badan agak teruk juga.
Sebenarnya, setiap kali melihat foto-foto sebelum kejadian juga, kami akan berasa sedih. Melankolik.

Allah benar-benar menduga kami.

"Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah kamu dustakan?"

Terlalu banyak sebenarnya nikmat-nikmat yang Allah berikan kepada kita. Tapi, fitrah sebagai manusia, selalu lupa. Alpa.
Ujian ini untuk menyedarkan. Adakala kita lupa tentang tuntutan sebagai hambaNya. Allah masih memberi nikmat umur ini disebabkan ada yg masih belum kita laksanakan. Ya, sebab jalan dakwah ini sangat panjang. Panjang. Andai 4 Januari itu hari terakhir kami, barangkali kamilah manusia-manusia yang paling menyesal. Menyesal kerana hayat kami berlalu begitu sahaja tanpa sempat kami menyentuh jiwa-jiwa manusia lain untuk sama-sama berjalan di jalan Allah.

Allah. Terima kasih Allah.


Kerana kejadian ini, Fatin selalu ulang dengar lagu 'Bila Tiba' dendangan Ungu.

Saat tiba nafas di ujung hela
Mata tinggi tak sanggup bicara
Mulut terkunci tanpa suara


Bila tiba saat berganti dunia
Alam yang sangat jauh berbeda
Siapkah kita menjawab semua
Pertanyaan


Bila nafas akhir berhenti sudah
Jatung hatipun tak berdaya
Hanya menangis tanpa suara
Ooo


Mati tak bisa untuk kau hindari
Tak mungkin bisa engkau lari
Ajalmu pasti menghampiri


Mati tinggal menunggu saat nanti
Kemana kita bisa lari
Kita pastikan mengalami
Mati


Deep. Mati memang tidak boleh dihindari. Tidak boleh lari. Maka, sisa-sisa yang masih ada ini, kami cuba gunakan sebaik mungkin. Ini peluang kedua yang tidak semua orang dapat...

Tarbiyyah ini benar-benar membuka pintu hati kami. Tarbiyyah ini juga ujian untuk ukhuwah kami.

Tarbiyyah ini juga menyedarkan kami bahawa bila-bila masa sahaja Allah boleh hantarkan Izrail utk mencabut nyawa kami.
Allahu Allah. Kekalkan kami di jalanMu. Masih banyak tuntutan yg belum kami sempurnakan. Jalan dakwah ini masih panjang. Moga kami terus thabat. InsyaAllah.


Notakaki: Sam banyak ingat mati selepas kejadian yg menimpa kami. Alhamdulillah.