Monday, 27 January 2014

[UJIAN]

 بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ


2255
23012014

Berkisah panjang siang tadi. Rupanya ada sendu di jiwanya. Berat pundaknya dengan segala macam hal. Moga saja dia terus tabah dan kuat hadapi segala mehnah dari Tuhan.

***************************************************************************

Ujian dan manusia. Rapat bertaut. Tapi, ujian atau musibah yang ditimpakan, berbeza mengikut kemampuan seseorang. Ujian yang tertimpa ke atas kita, boleh jadi ibtila' dan kaffarah. Boleh jadi juga, rasa rindu yang teramat dari Rabb terhadap bicara kasih kita. Ibtila' itu ujian penilaian bagi mengangkat martabat hambaNya sebagaimana hadis Nabi SAW:


يُبْتَلَى الرَّجُلُ عَلَى حَسَبِ دِينِهِ ، فَإِنْ كَانَ فِي دِينِهِ صَلابَةٌ زِيدَ له في البلاء

"ٍSetiap manusia diuji berasaskan tingkat atau kadar pegangan agamanya. Makin kuat pegangan agamanya, maka makin tinggilah ujian Allah kepadanya".

Manakala kaffarah pula penyucian dosa-dosa yang telah kita lakukan. Manusia - tak boleh lari daripada membuat dosa dan kemungkaran. Kita manusia pendosa.

Allah uji, Allah duga - tanda sayang. Di sebalik ujian dan dugaan yang kita terima, Allah akan hapuskan dosa-dosa kecil kita, hatta jari terluka dek tertusuk duri sekalipun.  

Dalam hadis qudsi Allah berfirman,

"Pergilah pada hambaku lalu timpakanlah berbagai ujian padanya kerana Aku ingin mendengar rintihannya."

(HR Thabrani dari Abu Umamah)

Biar lelah yang menyapamu, lelah mengikutimu. 
Biar sakit yang mengirimu, sakit mengekorimu. 

Kita perlu kuat untuk terus teguh dalam dakapan Tuhan.
Jangan lemah sebelum sempat berjuang.

Sedikit perkongsian tentang ujian dari laman genta-rasa, Ust. Pahrol.
Hidup adalah untuk diuji. Ujian itu tidak akan ada hentinya. Selagi kita diuji, selagi itulah kita masih hidup. Jadi bersyukurlah… Ujian itulah jalan untuk kita mengenal Allah. Allah ‘memperkenalkan’ Dirinya di sebalik semua ujianNya. Pada ujian sakit, Allah kenalkan Dirinya yang Maha Penyembuh. Pada ujian miskin, Allah perkenalkan diriNya yang Maha Kaya. Pada ujian fitnah, Allah sedang memperkenalkan diriNya yang Maha Penyabar…




Tuhan tahu kau mampu
maka kau diuji
bukan untuk melemah
bukan untuk merencat

mahu kau mendekat

ujian itu untuk menguatkan
ujian itu untuk mendewasakan

dan kerana
Tuhan tahu kau mampu
maka jalan hidupmu sedikit berliku
kiri kanannya penuh ranjau berduri

bukan untuk meluka
bukan untuk menyakiti

Tuhan itu
rindu akan bisik doamu
menanti kata cinta darimu
menunggu ucap rindu hambaNya
maka kerana itu
kau diuji
dengan calar hidupmu

Manusia itu
diuji mengikut tingkat agamanya
andai kuat
makin tinggi ujian Tuhan kepadanya
maka
ujian itu
kau anggap saja 
titik lemah yang menguatkan

bingkisan rindu Tuhan
untuk meningkatkan martabat keimananmu

Tuhan itu Maha Mendengar
maka
jangan pernah engkau letih melempar doa
jangan pernah engkau berputus harap padaNya

Berpautlah pada sabda dan firmanNya


Ba'da Asr
Kota Bharu

1655
27012014



No comments:

Post a Comment