Monday, 3 February 2014

[TULIS]

Dengan menulis coretan hati, mungkin membuka ruang untuk orang mengetahui setiap liku kehidupan kita. Setengah jasad akan mengiakan. Maka, mereka memilih untuk menjadi silent reader.. baca sampai ke hati, sesuaikan dengan keadaan diri. Baik jadikan pedoman, buruk jadikan teladan.


Tapi, aku memilih untuk menulis. Sebab, tulisan aku lahir dari hati-suatu yang sukar diterjemah melalui kata, sekadar tertulis melalui renda abjad.


Aku cuba menulis yang baik-baik. Sebab aku bukanlah orang yang baik-sekadar manusia pendosa yang ingin menjadi baik. Moga kata-kata yang aku tulis boleh menyentuh jiwa manusia lain. Aku tidak petah berbicara secara lisan untuk mengajak manusia hidup berTUHAN. Lidahku kadang kelu. Bibirku pula seolah terkunci dari dalam. Maka, aku cuba menulis perkara baik-baik. Moga-moga ada hati terpaut dan makin mendekat pada Tuhan yang satu. Laman dakwah itu terlalu luas. Dakwah tidak semestinya berjalan dalam jemaah sambil menghujah hadis dan nas al-Quran. Dakwah boleh disebarkan melalui tutur kata, perbuatan, pakaian, dan juga tulisan. Kerana aku manusia yang telah diiqamatkan sejurus dilahirkan, telah mengucap kalimah" لآ اِلَهَ اِلّا اللّهُ مُحَمَّدٌ رَسُوُل اللّه” - maka aku seorang da’ie. Aku mahu hidup menjadi manusia yang bukan sekadar manusia biasa. Aku ingin menjadi manusia yang boleh menyumbang kepada agama. Biar mati aku, mati sebagai mukminah sejati.

Coretan hati tidak bermakna luahan masalah semata-mata. Kadang-kadang coretan hati itu terlahir melalui masalah yang diterjemah dalam aksara menjadi bait-bait syukur. Kerna- masalah itu kadang-kala menghidupkan kita yang sedang lena. Coretan hati juga renda kata yang ingin dikongsi bersama. Gembira yang ingin dinikmati bersama, sebak yang ingin ditangisi bersama. Kerana manusia itu saling bersaudara, maka rasa-rasa itu ingin dikongsi bersama. Inilah indahnya hati-hati manusia yang berTUHANkan ALLAH. Tidak mengenali sesama sendiri, tetapi tetap bersilaturahim melalui tautan hati yang cintakan Allah.


:Penulis akan mati, tetapi tulisannya akan kekal abadi:


2207, 03022014
Tanah Rendah Sekebun Bunga

No comments:

Post a Comment