Bismillah.
[1850, 31122013]
Tika ini, langit masih cerah. Angin kadang tenang, kadang menderu ganas. Burung-burung galak berkicauan. Aku duduk di bangku batu, menghadap belantara hijau. Sedari tadi nyamuk-nyamuk kecil cuba menghampiri. Aku tepis sedaya mungkin. Dan, aku sebenarnya sedang menanti terbenamnya matahari terakhir. Ya, terakhir untuk tahun 2013.
Menanti penuh sabar langit bertukar warna kemerahan. Ku dongak ke langit, ku lihat kawanan burung bertempik riang pulang ke sarang. Cantik formasinya.
[1904,31122013]
Aku mula lihat langit bertukar warna merah jingga. Nun di hujung sana. Aku masih setia di bangku tika itu. Tidak berganjak walau seinci. Tika itu juga, telingaku menangkap pelbagai bunyi. Ada derap tapak kaki manusia memijak tangga, ada bunyi curahan air bertubi-tubi, ada bunyi alunan muzik, bunyi bayu mendesir juga bunyi yang cukup indah yakni bacaan ayat suci al-Quran daripada salah seorang penghuni kotak-kotak batu kolej ini. Tenang dan damai.
Aku ingin terus menjejak matahari terbenam.
Tapi, masa seakan mencemburui. Langit kelihatannya makin kehitaman. Angin bertiup makin ganas. Daun-daun berterbangan. Burung-burung pun kelihatan makin kalut, ingin cepat pulang ke sarang. Muazzin aku kira sedang berzikir sambil menunggu masuknya waktu-tika itu. Maka, aku hayun langkah pulang ke lubuk. Mungkin bukan rezekiku hari ini untuk menatap keindahan matahari terbenam yang terakhir. Ya, terakhir.
![]() |
| Langit yang masih cerah tatkala aku melabuhkan duduk di bangku batu itu. |
![]() |
| Bangku batu tempat aku menanti penuh sabar langit bertukar warna. |
![]() |
| Langit mula bertukar warna, tapi nun jauh di sana. |
Catatan akhir aku, moga aku masih bisa menatap langit yang sama pada hari esok.
notakaki: lokasi di belakang k13c kiy,ukm



No comments:
Post a Comment