Wednesday, 27 November 2013

[Catatan di hari ulang tahun]


Bismillahirahmanirahim.

Segala puji bagi Allah pemilik sekalian alam. Hari ini bertanggal 27 November 2013 aka 23 Muharram 1435. Hari ini menyaksikan aku sebagai manusia berusia 22 tahun. Sudah melewati dua dekad menumpang kasih di bumi barokah Tuhan. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Aku panjatkan kesyukuran kepada Tuhan yang Esa pemilik segalanya. 22 tahun yang aku kira masih belum bermakna secukupnya. Aku masih kosong dengan amalan apatah lagi dengan perjuangan untuk tegakkan ummah. Aku masih aku yang senantiasa alpa dan lalai. Terkadang aku menyoal sendiri,apa aku sudah bersedia untuk dipanggil pulang? Apa bekalan aku sudah mencukupi? Tidak. Hakikatnya belum. Persiapan aku menuju negeri abadi hanya sekangkang kera. Langsung tidak layak dipanggil pulang berkarpet merah.
Sejujurnya, aku tidak mengharapkan apa-apa untuk hari ulang tahun kelahiran ini. Cukup sekadar iringan doa yang benar-benar datangnya dari sudut kalbu. Kerna, andai ditanya hadiah apa yang aku inginkan, pasti tiada siapa mampu hadiahkan. Kerna, ia mustahil. Mustahil untuk ibuku hidup kembali. Jujur, aku merinduinya. Ingin sekali aku, duduk bersimpuh di hadapan ibu, lalu kutarik lembut tangan tuanya, ku kucup penuh kasih. Maaf. Aku sebak. Tika ini, pipiku kebasahan. Mataku berair. Entah mengapa.

———————————————————————————


Hari yang aku kira
semua orang menguntum senyum
berbahagia
mungkin untuk seketika cuma



aku seperti hari-hari kelmarin
melayan dunia bagai tiada rasa
membelai hati tanpa bibit bunga


Aku sebenarnya gusar. Gementar. Takut. Bukan liang lahad yang kecil dan gelap itu. Tapi, takut gementar aku adalah kerana amalan dan sumbangan aku untuk ISLAM. 22 tahun bukan tempoh yang singkat. Lama. Aku masih boleh berbicara tentang keduniaan sedang ummah hari ini semakin lemah tanpa daya. Aku takut usia aku tidak sempat mengjangkau 23. Aku risau tertidurnya aku nanti dalam keadaan hiruk pikuk dunia yang masih kelam dengan sinar ISLAM. Aku juga berasa sangat gementar untuk berjalan pulang menghadap sang pemilik hati dengan amal yang tempang, ibadah yang compang. Allahu Allah. Aku benar-benar takut.

Aku jeda kata-kata. Biar ternoktah di sini. Aku punya bicara yang tidak terungkap. Barangkali bicara ini hanya untuk dibisikkan kepada kekasih hati di atas sana.

: Kamu. Yang mengeja abjadku, terima kasih. Boleh aku minta sesuatu? Boleh kamu sedekahkan al-Fatihah buat ibuku? Juga untuk bapaku. Dan, semestinya untuk kedua orang tuamu. :


Salam.

No comments:

Post a Comment