Thursday, 3 July 2014

Anak Gelandangan

bangganya kau dengan bangunan tinggi mencakar langit di setiap penjuru kota
jangan kau lupa
ada manusia-manusia yang
tidur malamnya beralas kotak
berbumbung langit gelap - kadang-kadangnya dihias indah
sang kejora

pernahkah kau terfikir?
masih ada rakyatmu
yang mengendong bayi
menguis tin-tin kosong di jalanan
menggali setiap lubang ceruk kota
demi sesuap nasi

"akak, nak kotak"

lihatlah dunia
saat kau berselubung enak dalam gebar tebalmu
terlentang selesa di katil empukmu
anak-anak kecil ini
dengan mata sayu bertubuh lesu
minta kepingan kotak
untuk buat alas dan tutupi diri

mereka
manusia gelandangan
mengukir hidup di kaki lima
kadang mati mereka tiada siapa peduli
ibarat layaknya dibiarkan
menjadi bangkai - dihurung lalat kota.


Sekitar  "acara makan-makan" dan pembahagian pakaian untuk warga tanpa rumah di Jalan Panggung bersama team Dapur Jalanan


Kanak-kanak ini pernah mendapat liputan akhbar kerana mandi di dalam longkang dan tidur di bawah jambatan. Alhamdulillah, selepas mendapat perhatian di akhbar, akhirnya pihak yang berwajib, tampil menghulur bantuan.



Anak-anak gelandangan yang gembira selepas mendapat makanan dan pakaian.
Lokasi : Chow Kit



Minoriti gelandangan ini dilihat sebagai lalat kota yang hanya menjejaskan imej negara di mata dunia. Tapi pernahkah kita terfikir, kenapa mereka menjadi gelandangan? Tidur di kaki lima, mengutip sisa makanan orang lain. 

Dua tiga hari sebelum ini, kecoh apabila seorang menteri yang dalam istilah sosiologinya-seorang borjuis telah menindas hak-hak golongan minoriti ini. Golongan gelandangan akan dihapuskan sedikit demi sedikit, diangkut dan ditangkap. Golongan yang memberi sedekah atau menyumbang makanan pula akan disaman. Allahu. Inikah negara Islam? 

Mereka seharusnya dibantu.
Mereka perlu didekati, dengar dari hati, lihat juga dengan hati.


Jika kamu melihat ramainya orang miskin di negara orang Islam, ketahuilah di sana ada si kaya yang merompak harta mereka"
— Syeikh Mutawalli Sya'rawi.

Menjadi pemimpin, biarlah memimpin dengan hati. Menyelami setiap derita rakyat dengan penuh kerendahan hati.

Menjadi masyarakat, biarlah bermanfaat kepada orang lain. Jangan hanya pandai menunding jari kepada kesalahan orang lain.

Jangan kita tergolong dalam masyarakat atau komuniti yang pincang jiwanya, lopak hatinya.


Kata hati seorang rakyat marhaen
2315
5Ramadhan1435



No comments:

Post a Comment