Thursday, 12 July 2012

Ahlan wa sahlan ya RAMADHAN..


Ku mengharapkan Ramadhan
Kali ini penuh makna
Agar dapat kulalui
Dengan sempurna

Selangkah demi selangkah
Setahun sudah pun berlalu
Masa yang pantas berlalu
Hingga tak terasa ku berada
Di bulan Ramadhan semula
Puasa satu amalan
Sebagaimana yang diperintahNya
Moga dapat ku lenturkan
Nafsu yang selalu membelenggu diri
Tiada henti-henti

Tak ingin ku biarkan Ramadhan berlalu saja
Tuhan pimpinlah daku yang lemah
Mengharungi segalanya dengan sabar
Kita memohon pada Tuhan diberikan kekuatan
Ku merayu pada Tuhan diterima amalan

Selangkah demi selangkah...
Dengan rahmatMu oh Tuhanku...
Ku tempuh jua

Ramadhan al-Mubarak bakal tiba tak lama lagi. Debaran dihati kian terasa. Kedatangan Ramadhan sangat dinanti-nantikan oleh jiwa-jiwa yang sentiasa bertasbih memuji Illahi. Semoga kita berada dalam rahmat Allah dan dipanjangkan usia untuk bersua dengan Ramadhan kali ini.

Ramadhan menurut istilah Arab bermaksud terlalu panas. Mengikut sejarah, sewaktu ingin meminda nama bulan daripada bahasa lama kepada yang baru, bangsa Arab telah menamakannya mengikut suasana atau keadaan yang berlaku pada waktu tersebut. Kebetulan pada waktu itu keadaan sangat panas, maka mereka menamakan bulan tersebut Ramadhan. Makna ‘terlalu panas’ itu juga dikaitkan dengan maksud bahawa Ramadhan dapat membakar segala dosa orang mukmin melalui pelbagai ibadat yang dilaksanakan dengan penuh keikhlasan seperti  berpuasa dan solat Tarawih.

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa”. (QS. Al-Baqarah: 183)

Kehadiran Ramadhan membawa rahmat dan maghfirah daripada Allah SWT. Pada bulan mulia ini pintu-pintu neraka ditutup dan dibuka kesemua pintu syurga. Daripada Abu Hurairah r.a Rasulullah SAW bersabda : “ Apabila masuk bulan Ramadhan terbukalah pintu-pintu syurga dan terkuncilah segala pintu neraka manakala sekalian syaitan dirantai dan dibuka segala pintu rahmat.” (Riwayat Bukhari & Muslim) . Semoga kedatangan Ramadhan kali ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin untuk menggilap kembali hati yang kian pudar serta dapat melumpuhkan nafsu-nafsu hitam yang menghuni jiwa kita selama sebelas bulan. Dalam sebelas bulan yang berlalu, syaitan bekerja keras untuk menerapkan nilai-nilai buruk dalam diri kita. Oleh itu, gunakanlah masasebulan ini untuk ‘charge’ kembali iman-iman kita. Teguhkan amalan-amalan wajib serta tingkatkan amalan-amalan sunat. Insya-Allah, Ramadhan yang dilalui akan bercahaya dengan keberkatan dari-Nya.

Terdapat pelbagai amalan sunat yang boleh dilakukan pada bulan suci ini antaranya mengerjakan solat sunat, bersedekah, qiamullail, membaca al-Quran, beristighfar dan sebagainya.  Pahala mengerjakan amalan-amalan ini juga tidak terkira banyaknya. Sesungguhnya kedatangan Ramadhan memberi seribu satu rahmat kepada umat manusia. Sesiapa yang beramal semata-mata kerana Allah dan mengharapkan keampunan dari-Nya akan mendapatnya. Rasulullah S.A.W bersabda yang maksudnya:“Sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan kepada Allah, maka sesungguhnya telah diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sesungguhnya umat Islam berada dalam kerugian jika mensia-siakan kedatangan Ramadhan al-Mubarak ini. Ramadhan hanya datang untuk seketika. Jadi, hargailah ‘tetamu’ ini dengan amal kebajikan. Rasulullah SAW bersabda “Sekiranya manusia mengetahui kebajikan yang terkandung dalam Ramadan itu, tentulah mereka mengharap-harap supaya Ramadan berlaku sepanjang tahun.” (Hadis riwayat Ibnu Abid Dunya).

let's charge our iman ♥





No comments:

Post a Comment