Thursday, 9 February 2012

MUNGKINKAH AKU DIPANGGIL PULANG ..


            
Pagi Ahad itu Qausar bangkit dalam keadaan yang amat ceria. Tidak pernah sebelum ini dia merasakan kesihatan yang begitu bersemangat. Kesegaran tubuhnya amat meriangkan.

Setiap pergerakannya dilakukan dengan pantas – capai tuala, mandi, pakai baju seluar, sikat rambut, kemas katil dan apa sahaja rutin hariannya yang sebelum ini dilakukan dengan longlai. Setelah siap di bilik, Qausar bergerak pantas pula ke dapur.
“ Awal bangun, Char?” teguran dari ibunya yang memanggilnya dengan panggilan manja .
Qausar mengangkat bahunya sebagai isyarat tidak tahu.
“ Selalunya hari minggu macam ni pukul 11 tak masuk ke dapur lagi,” ujar ibunya lagi.
“ Tak tau lah ibu. Tetibe je badan Char ni bersemangat. Macam kena kejutan elektrik. Mungkin Char minum susu  terlebih malam tadi kut,” Qausar cuba mengandaikan.
“Minum susu terlebih ke buang tabiat?” ibunya pula mengandaikan.
Qausar terdiam. Buang tabiat? Biasanya kalau digelar buang tabiat, orang itu akan mati. “ Eishh, ibu ni. Janganlah cakap macam tu.”
“ Gurau je,” balas ibunya.
Selepas bersarapan sandwich berinti sardine dengan  teh ‘ o’ , Qausar terus ke belakang rumah dan mencapai penyapu. Disapunya daun-daun kering yang bertaburan. Dalam pada itu, dia terasa sesuatu dan berdetik hatinya, “ eh, aku tak pernah pegang penyapu sebelum ni? Apa kena dengan aku ni?’’ kemudiannya dia teringat kata-kata ibunya – ‘buang tabiat’. Sememangnya dia dapat mersakan kelainan pada dirinya, tidak seperti selalu. “mungkin aku nak mati,” bisik hatinya.
Lantas dia ke dapur semula dan bersalam dengan ibunya sambil teresak menangis, “Maafkan Char, bu. Maafkan semua kesalahan Char dan halalkan semua makan dan minum Char, ye ibu.
“ Char takde buat salah pape pun … kalau ada pun, ibu dah maafkan. Dah…. Ibu nak pergi pasar ni.” Kata ibunya dan terus keluar ikut pintu dapur. Sebelum keluar, ibunya sempat tersenyum dan berpesan, “ Jaga rumah ni, Char”
Qausar membalas senyuman itu dalam tangisan. Apabila ibunya telah jauh, dia baru terfikir,  “Kenapa ibu tak tanya kenapa aku menangis ?”
Satu jam kemudian, setelah Qausar siap mengemas seluruh rumah, dia dikunjungi ketua kampung dan imam yang kemudiannya membawanya ke hospital untuk melihat ibunya yang pengsan akibat serangan jantung ketika dalam perjalanan ke pasar.
Tiba di hospital itu, Qausar tidak sempat untuk mengucapkan kata-kata kepada ibunya kerana 10 minit  sebelum itu ibunya telah menghembuskan nafas yang terakhir.



v Anggaplah setiap perbuatan kita adalah satu ibadah yg menjadi bekalan di akhirat kelak. Sesungguhnya, kita dipanggil pulang tanpa mengira waktu.

Kolum Anekdot, Gen-Q,Vol 01,Isu 03

No comments:

Post a Comment